Projek Rancangan Tebatan Banjir Sibu Fasa 5 dijangka menelan kos RM500 juta, atasi masalah banjir di Sibu

SIBU-- Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sibu Fasa 5 dijangka menelan kos hampir RM500 juta adalah usaha kerajaan dalam menangani isu banjir yang kerap kali dibangkitkan di bandar Sibu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek RTB Sibu melibatkan lima fasa yang memberi manfaat perlindungan risiko bencana banjir kepada penduduk dengan melibatkan kawasan kediaman, komersial dan sekolah.

“Projek RTB Sibu Fasa 5 sebelum ini telah dikemukakan tetapi dalam Rolling Plan Kelima ia tidak mendapat kelulusan. 

"Oleh itu, kita berharap projek itu dapat dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan anggaran kosnya hampir RM500 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek RTB Sibu Fasa 3 di sini, hari ini.

“Apabila siap sepenuhnya (fasa 1 hingga 5), projek itu akan mengurangkan risiko banjir dan melindungi hampir 100,000 penduduk, serta kawasan utama seperti pusat bandar Sibu, kampung dan pelbagai aset termasuk kemudahan komersial, perindustrian dan awam termasuk sekolah dan sebagainya.

“Ini bermakna kita boleh mengurangkan risiko banjir di Sibu,” tambah Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu.

Tambahnya, projek RTB antara yang dilaksanakan kerajaan bagi menangani masalah banjir di negara ini termasuk di Sibu. 

Mengenai projek RTB Sibu, Fadillah berkata, sebanyak RM268 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Projek RTB Sibu yang melibatkan 3 fasa secara keseluruhan.

Katanya, projek RTB Sibu bermula dengan pelaksanaan Fasa 1 dan Fasa 2 yang melibatkan kos kontrak sebanyak RM183 juta dan telah siap sepenuhnya pada 2012 dan 2015. 

Projek Fasa 1 dan 2 itu, jelasnya telah memberi manfaat perlindungan risiko bencana banjir kepada lebih 10,000 penduduk dengan keluasan kawasan dilindungi seluas 400 hektar, melibatkan kawasan kediaman, komersial dan sekolah di sekitar Jalan Upper Lanang termasuk Kem Pasukan Gerak Am (PGA).

"Manakala RTB Fasa 3 yang melibatkan kos kontrak sebanyak RM85 juta telah siap sepenuhnya pada 1 Disember 2023. 

"Dengan terlaksananya projek ini, lebih 15,000 penduduk dan seluas 270 hektar kawasan dilindungi dari risiko banjir. 

"Ia melibatkan Kampung Datu, Kampung Hilir, Kampung Nangka, Kampung Datu Baru dan kawasan perumahan serta komersial sekitar Jalan Bandong, Jalan Tun Abang Haji Openg dan Jalan Awang Ramli Amit," ujarnya.

Menurutnya lagi, bagi meneruskan pelaksanaan RTB Sibu, Kerajaan Sarawak di bawah RMKe-12 juga telah meluluskan skim projek Fasa 4 bernilai RM120 juta.

Katanya, projek ini dijangka akan dapat melindungi kawasan seluas 618 hektar setelah siap dilaksanakan kelak yang sebahagian besarnya meliputi kawasan Bukit Assek.

"Bagi isu banjir yang melanda Kampung Usahajaya, Sentosa, Sibu dan kawasan sekitarnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sibu telah diperuntukkan sebanyak RM25 juta di bawah peruntukan Projek Rakyat Kerajaan Sarawak bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf sistem saliran di kampung berkenaan yang dijangka siap pada April 2025.

"Manakala untuk mengurangkan beban rakyat setempat akibat bencana banjir, sebanyak RM1.5 juta turut diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan kerja-kerja segera penyelenggaraan dan baik pulih struktur yang rosak akibat banjir," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kesemua projek itu dijangka dapat meningkatkan semula aktiviti sosio-ekonomi serta menjamin kelangsungan perhubungan penduduk setempat di samping mengurangkan kerugian harta benda, kemudahan awam dan kehilangan nyawa akibat banjir.

"Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan kelestarian pelaksanaan projek-projek Kerajaan untuk memastikan impak yang maksimum demi kesejahteraan rakyat dan memacu ekonomi di setiap negeri dan negara pada amnya," ujarnya.
Next Post Previous Post