Pesara rugi setengah juta terpedaya pelaburan tidak wujud

KUCHING-- Seorang pesara di sini mengalami kerugian lebih setengah juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud, "Pentheon Venture".

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, lelaki berusia awal 60-an itu pada pertengahan Jun lalu, semasa berada di rumah telah melayari laman sosial Facebook dan tertarik dengan iklan pelaburan yang ditawarkan oleh seorang individu yang tidak dikenali iaitu suspek.

"Mangsa seterusnya menghubungi suspek melalui akaun Facebook miliknya dan suspek telah memberikan empat talian nombor telefon lalu mangsa hubungi 
melalui aplikasi Whatsapp untuk berurusan berkaitan pelaburan tersebut.

"Mangsa yang terpedaya telah membuat pembayaran secara pindahan wang dalam talian bermula daripada pertengahan Jun 2024 sehingga awal September 2024," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa telah melakukan 24 transaksi wang secara berperingkat ke dalam sembilan nombor akaun bank yang berbeza berjumlah lebih 
kurang RM540,000.

"Mangsa telah menyedari dirinya ditipu apabila suspek tidak dapat dihubungi dan hingga kini mangsa masih belum menerima sebarang pulangan keuntungan daripada pelaburan tersebut," jelas Mancha.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar jangan terlalu mudah percaya dengan pelaburan-pelaburan yang ditawarkan di laman sosial.

"Orang ramai dinasihatkan agar membuat penelitian dahulu sebelum membuat pelaburan," ujarnya.
Previous Post