Penjawat awam di Sarikei rugi RM510,00, pesara di Kuching rugi RM660,000

KUCHING-- Dua lelaki tempatan di Sarikei dan Kuching masing-masing mengalami kerugian RM510,000 dan RM660,000 selepas menjadi mangsa penipuan Phone Scam dan pelaburan tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata kes penipuan phone scam di daerah Sarikei melibatkan mangsa yang berusia lewat 50-an dan merupakan seorang kakitangan kerajaan di Sarikei.

"Pada penghujung Jun 2024, mangsa menyatakan semasa berada di tempat kerja, mangsa telah dihubungi oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya daripada sebuah syarikat kurier yang mana mangsa dikatakan telah mengirim bungkusan yang mengandungi beberapa keping kad kredit dan kad pengenalan diri mangsa sendiri.

"Setelah itu panggilan mangsa disambungkan kepada seorang suspek yang menyamar sebagai anggota polis yang bertugas di IPD Melaka dan suspek menuduh mangsa telah terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan sekiranya mangsa gagal memberi kerjasama, aset dan akaun bank mangsa akan dibekukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa yang terpedaya katanya, telah membuat pembayaran secara pindahan wang atas talian bermula daripada awal hingga pertengahan Julai 2024 dengan melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam beberapa nombor akaun bank berbeza yang berjumlah lebih kurang RM510,000.

Kata Mancha, mangsa telah menyedari dirinya ditipu apabila suspek meminta mangsa membuat pembayaran ikat jamin bagi orang yang mengendalikan kes tersebut.

Bagi kes penipuan pelaburan tidak wujud di Kuching pula, beliau berkata mangsa seorang lelaki tempatan yang berusia pertengahan 70-an dan merupakan seorang pesara.

"Pada penghujung Julai 2024, mangsa semasa berada di rumah telah melayari laman sosial Facebook dan tertarik dengan kursus pelaburan yang ditawarkan oleh seorang individu yang tidak dikenali iaitu suspek yang berperanan sebagai tenaga pengajar kursus.

"Mangsa telah menghubungi suspek dan diarah menghubungi pihak terbabit untuk mendapatkan bimbingan semasa berkursus selama dua minggu.

"Mangsa turut diarahkan untuk memuat turun aplikasi pelaburan 'Grandpine Capital Learning Centre' dan mendaftar akaun milik mangsa," jelasnya.

Menurutnya lagi setelah selesai kursus, mangsa telah diarahkan oleh suspek untuk membeli saham di dalam aplikasi tersebut.

Katanya, mangsa yang terpedaya telah membuat pembayaran secara pindahan wang dalam talian bermula daripada pertengahan Ogos hingga pertengahan September 2024.

"Dalam kejadian ini, mangsa telah melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam beberapa nombor akaun bank yang berbeza berjumlah lebih kurang RM660,000

"Mangsa telah menyedari dirinya ditipu apabila suspek masih meminta mangsa membuat transaksi lain dan sehingga kini, mangsa masih belum menerima sebarang pulangan keuntungan daripada pelaburan tersebut," ujarnya
Next Post Previous Post