Pembinaan Markas Laut 4 TLDM di Bintulu jamin kedaulatan perairan Sarawak

KUALA LUMPUR-- Pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bintulu dilihat dapat menjamin kedaulatan perairan negara di Sarawak terutama dalam menghadapi konflik dan tuntutan wilayah di Laut China Selatan.

Malahan dengan langkah itu juga dapat mencegah penceborohan di perairan Sarawak yang mempunyai kekayaan khazanah sumber asli seperti minyak dan gas.

Hal ini kerana insiden pencerobohan melibatkan kapal pengawal pantai China di kawasan konflik itu kian kerap berlaku.

Memetik laporan Channel News Asia (CNA), Malaysia tidak mungkin menerima tindak balas yang lebih agresif terhadap pencerobohan kapal China, memandangkan matlamat menyeluruhnya untuk mengekalkan pendekatan utamanya terhadap tuntutan wilayah maritim dan mengekalkan hubungan ekonomi yang menguntungkan dengan Beijing.

China, yang kini terlibat dalam pertikaian dengan Filipina di wilayah laut tersebut, juga dilihat berminat untuk mengekalkan hubungannya dengan Malaysia secara seimbang.

Seorang felo kanan di Singapore’s S Rajaratnam School of International Studies
Dr Collin Koh, berkata pembinaan pangkalan tentera laut di Bintulu, Sarawak tidak akan mengubah hubungan China-Malaysia selagi kerajaan Malaysia terus mengekalkan pendekatan “non-megaphone” terhadap pertikaian itu.

"Pangkalan tentera laut dan kehadiran maritim Malaysia yang berpotensi meningkat di kawasan itu mungkin dianggap sebagai gangguan kepada Beijing, tetapi itu sahaja.

"Akhirnya, ia bergantung kepada situasi politik di Kuala Lumpur, bukan apa yang berlaku di lapangan dengan pembentukan tentera laut Malaysia di Borneo, yang nampaknya menjadi penentu utama dalam hubungan keseluruhan dengan Beijing," katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pernah menyuarakan agar Kerajaan Persekutuan menyegerakan penempatan pangkalan TLDM di Bintulu.

Tegasnya, ini kerana perkara yang akan berlaku dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang khususnya membabitkan keselamatan perairan negara sukar dijangka.

"Malah ketika ini pun sudah ada bibit perbalahan sengit di perairan bersempadan negara serantau.

"Saya juga berpandangan perbalahan akan tercetus terutama apabila China berusaha memperluaskan sempadan maritimnya yang termasuk dalam nine dash line di Laut China Selatan," katanya dipetik menerusi laporan Berita Harian.

Terma nine dash line pada dasarnya garisan sempadan dibuat China, membentang sejauh 2,000 kilometer (km) dari daratan Negara Tembok Besar itu hingga beberapa ratus km dari Filipina, Malaysia dan Vietnam yang didakwa sebagai hak maritim bersejarahnya.

"Di sinilah kita lihat berlaku pertindihan tuntutan antara beberapa negara Asia Tenggara kerana China menuntut sempadan termasuk di dalam nine dash line. 

"Jika ia berlaku, bermakna sempadan perairan China akan meluas sehingga beberapa batu nautika sahaja dari pantai Sarawak.

"Kebelakangan ini China semakin berkuasa dan memiliki armada tentera laut yang cukup kuat, membuatkan mereka semakin lantang dan agresif menuntut untuk memperluaskan sempadan maritim dengan mempamerkan kekuatan aset maritim di perairan itu," jelasnya lagi.

Justeru beliau memberitahu, kewujudan pangkalan TLDM yang dicadangkan di Bintulu harus disegerakan kerana Malaysia tidak boleh menunggu sehingga tercetus insiden besar termasuk pencerobohan, baru mahu bertindak.

"Memperkukuh pertahanan di perairan Sarawak dengan pangkalan TLDM itu bermakna memperkasakan lagi usaha mempertahan kedaulatan Malaysia kerana kawasan Bintulu itu termasuk Samalaju dan Miri amat penting dalam ekonomi negara.

"Kekayaan khazanah Malaysia hasil minyak dan gas ada di sana. Apa akan berlaku jika kedaulatan kawasan itu terhakis oleh perluasan sempadan maritim oleh kuasa besar," katanya menegaskan Malaysia tidak boleh leka ketika China dilihat semakin berani kerana ada angkatan laut cukup kuat.

Menurutnya lagi, komuniti maritim di kawasan Miri misalnya, sering terserempak kapal Pengawal Pantai China (CCG) di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Laut China Selatan, khususnya sekitar Beting Patinggi Ali.

Abdul Karim berpandangan, Malaysia harus bertindak dari sekarang untuk memastikan kedaulatan negara tidak terjejas.

"Selain minyak dan gas, Sarawak juga sedang memperkembangkan ekonomi baharu menerusi perdagangan karbon dan menyimpan komoditi itu di bawah tanah di pelantar benua. Bagi sempadan perairan antarabangsa, Kerajaan Malaysia perlu memperhalusinya dengan negara yang menuntut.

"Ini kerana menjaga kedaulatan dan keselamatan di kawasan itu memang di bawah bidang kuasa Persekutuan, pastikan keselamatan di perairan antarabangsa.

"Apabila ada pencerobohan di kawasan Sarawak atau berdekatan, ia akan beri kesan kepada ekonomi Malaysia yang turut mendapat faedah daripada kekayaan khazanah perut bumi perairan Sarawak," katanya.

Pada 15 Jun tahun lalu, Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan kerajaan telah meluluskan pembangunan pangkalan TLDM yang baharu iaitu MAWILLA 4 di Bintulu.

Dan pada Ogos lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa lawatannya ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan pembinaan MAWILLA 4 TLDM di Bintulu, akan dimulakan apabila proses pembayaran premium tanah kepada kerajaan Sarawak selesai tidak lama lagi.

Beliau berkata, pada pertemuan itu, Abang Johari bersetuju MAWILLA 4 dibina di satu kawasan di Samalaju bagi membolehkan TLDM mewujudkan pangkalan yang berdekatan dengan kawasan Lapangan Gas Kasawari dan Beting Patinggi Ali di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Laut China Selatan.

"Sekarang kita fokus untuk menyelesaikan isu tanah bagi menyegerakan pembinaan pangkalan TLDM di Bintulu itu," ujarnya.
Next Post Previous Post