Pekerja swasta tertarik tawaran tender Pejabat Pendidikan Daerah Kuching "palsu" rugi RM42, 000

BINTULU -- Seorang lelaki berusia 40 tahun mengalami kerugian sebanyak RM42, 000 selepas ditipu pihak atasan Pejabat Pendidikan Daerah Kuching "palsu' bagi membekalkan 4 unit stesen kuasa mudah alih Ecoflow Delta Proseries kepada sekolah kebangsaan di daerah Mukah dan Sibu, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, pada 22 Oktober lalu, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung penipuan tawaran tender projek yang kononnya bagi membekalkan Ecoflow Delta Proseries kepada sekolah kebangsaan di beberapa daerah di negeri ini.

"Kejadian dipercayai berlaku selepas pengadu yang merupakan pekerja swasta menerima panggilan telefon daripada tidak dikenali (suspek) yang mengaku sebagai pihak atasan Pejabat Pendidikan Daerah Kuching yang menawarkan tender kepada mangsa bagi membekalkan 4 unit Ecoflow Delta Proseries ke daerah Mukah dan Sibu," jelasnya.
Mangsa katanya hanya sedar yang dirinya ditipu selepas membuat semakan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kuching dan mendapati tawaran tender sedemikian tidak wujud.

Ekoran itu katanya, mangsa telah mengalami kerugian bernilai RM42,000 selepas melakukan transaksi secara dalam talian kepada akaun pihak pembekal yang diperkenalkan oleh suspek.

Kes ini jelasnya akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun termasuk sebatan sekiranya didapati bersalah.
Next Post Previous Post