PBB perlu pemimpin belia untuk terus kekal releven 100 tahun-Uggah

KUCHING-- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memerlukan pemimpin belia dalam menyumbang tenaga dan idea baharu dalam memenuhi inspirasi anak muda masa kini.

Timbalan Premier yang juga Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kepimpinan dari kalangan anak muda diperlukan bagi memastikan parti itu terus berkembang kukuh di negeri ini.

"PBB memerlukan pemimpin muda, kita perlu idea kamu, visi kamu, inspirasi kamu dan tenaga kamu untuk memenuhi keperluan generasi muda pada masa ini.

"Ini juga bagi memastikan PBB dapat melebarkan sayap dengan lebih kuat serta terus kekal sebagai parti yang releven sepanjang masa malahan untuk 100 tahun dan seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Sayap Belia Baharu PBB di sebuah hotel di Sibu pada Sabtu.

Pada masa sama Uggah menyeru ahli-ahli Sayap Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk kekal bersatu dan fokus kepada kesetiaan dalam parti.

“Sekarang, PBB adalah tulang belakang Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan anda menyertai parti yang telah membuktikan sumbangannya kepada pembangunan Sarawak.

"Inilah semangat yang saya mahu lihat dalam kalangan ahli PBB di seluruh Sarawak dan pemimpin parti kita sentiasa ada untuk menyokong setiap ahli,” tegasnya.

Mengenai ahli Sayap Belia baharu, beliau berharap kesemua ahli dapat memikul tanggungjawab besar ketika mereka menghadapi masa depan yang penuh cabaran.
 
"PBB telah bertahan sejak tahun 1973 kerana pemimpin kita fleksibel dalam dasar.

“PBB telah menyumbang banyak kepada kaum Bumiputera di Sarawak khususnya tanah Ibu Pertiwi khasnya. 

"Kini, PBB adalah sebuah Parti yang kukuh, berjaya menyatupadukan rakyat Bumiputera," ujarnya.
Next Post Previous Post