Pasukan khas ditubuh siasat kes lelaki ditembak di Lorong Wong King Huo 21 Sibu
SIBU-- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes tembakan yang berlaku di Lorong Wong King Huo 21 di sini, pada 24 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, siasatan itu dijalankan dari pelbagai sudut dan secara menyeluruh.
"Ya pasukan khas telah ditubuhkan untuk menyiasat kes ini dari pelbagai sudut.
"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, iaitu cubaan bunuh," katanya ketika ditemui pemberita.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2.20 petang Khamis itu, seorang lelaki berusia 46 tahun mengalami kecederaan di bahu kanan akibat satu das tembakan yang dilepaskan oleh suspek yang belum dikenal pasti.
"Mangsa mempunyai satu kesan tembakan di bahu kanan dan kita percaya suspek melepaskan satu das tembakan," jelasnya.
Mengulas lanjut, Zulkipli berkata, hasil semakan mendapati mangsa mempunyai lima rekod jenayah lampau.
Mengenai isu "Sibu keras", beliau menafikan bahawa bandar raya itu tidak selamat.
"Keadaan keselamatan di Sibu masih terkawal," katanya.
Berhubung kes curi dan khianat yang melibatkan kerugian wang tunai lebih RM300,000 di kawasan tempat parkir kereta di Jalan Kampung Nyabor, Zulkipli berkata, polis sedang giat menjalankan siasatan terhadap kes itu.
Jelasnya, dalam kejadian sekitar jam 10 pagi Jumaat itu, mangsa dikatakan sedang parkir di tempat letak kereta apabila sebuah motosikal ditunggangi dua lelaki muncul dengan salah seorang daripadanya bertindak memecahkan cermin hadapan tempat duduk di sebelah pemandu dan terus melarikan beg bimbit mangsa.
"Kejadian berlaku ketika mangsa baru sahaja keluar dari bank dan dipercayai telah diekori oleh suspek," katanya.
Menurutnya, pihaknya daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Sibu kini giat mengesan kedua-dua suspek berdasarkan rakaman 'dashcam' kereta mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 397 dan 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda atau keduanya sekali.