Pasangan suami isteri ditahan bagi bantu siasatan kes kematian kanak-kanak lelaki

BINTULU -- Pasangan suami isteri berusia 28 dan 34 tahun ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kes kematian yang melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun di kawasan Setiam pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya telah menerima satu aduan kes kematian yang melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 Tahun 7 bulan yang dilaporkan berlaku pada 15 Oktober lalu pada jam 7.50 petang di Hospital Bintulu.

"PDRM turut difahamkan bahawa kejadian dilaporkan berlaku di sebuah rumah persendirian di kawasan Sungai Setiam," ujar beliau.

Hasil siasatan awal yang dijalankan jelas Nixon mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala dan pinggang mangsa. 
Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Sehubungan itu katanya, sepasukan polis dari IPD Bintulu telah membuat tangkapan terhadap pasangan suami isteri yang merupakan ibu bapa manngsa berusia 28 dan 34 tahun bagi membantu siasatan.

Justeru itu, kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan
Orang ramai katanya dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar mengenai kejadian yang berlaku kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. 

Mana-mana pihak yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kes boleh tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu ASP Mohamad Hashim Kasman di talian 01115377837 atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.
Next Post Previous Post