Mayat lelaki dibaham buaya ketika memukat ikan dijumpai

KUNAK-- Seorang lelaki yang dikhuatiri dibaham buaya semalam dijumpai mati dalam keadaan mayat mangsa tidak sempurna di sungai berhampiran Ladang KLK Jatika, di sini pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mayat Ridwan Nawir, 50, ditemukan oleh pasukan penyelamat bersama orang awam pada jam 9.41 pagi kira-kira 600 meter dari lokasi dilaporkan hilang

"Pasukan Bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 7.10 pagi dengan kaedah pencarian di permukaan sungai bersama agensi lain dan orang awam di kawasan mangsa dilaporkan disambar buaya dan di sepanjang sungai menggunakan bot. 

"Mangsa telah dijumpai oleh orang awam bersama pasukan penyelamat pada jam 9.41 pagi, 600 meter dari mangsa dilaporkan di sambar buaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudian diserahkan pada pihak Polis Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, mangsa dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang menjalankan aktiviti memukat ikan di sungai berkenaan pada pagi semalam.

Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 11.18 pagi semalam dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak ke lokasi.

Katanya, berdasarkan keterangan saksi iaitu kawan mangsa, Ridwan telah disambar buaya di sungai berkenaan.
Next Post Previous Post