Malaysia jadi hab air negara membangun, ASEAN menjelang 2040- Fadillah
KUALA LUMPUR-- Kerajaan menyasarkan Malaysia menjadi hab air bagi negara-negara membangun dan serantau ASEAN menjelang tahun 2040.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata sektor air menawarkan potensi besar untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.
"Sejajar dengan cita-cita ini, Malaysia akan menjadi pusat rujukan global dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan pembangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan pembangunan bakat.
"Melalui peningkatan pelaburan dalam teknologi air, penyelidikan dan pembangunan kemahiran, kita boleh menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan global dalam bidang ini.
"Secara langsung, ia akan menarik pelaburan asing dan membantu Malaysia mencipta peluang pekerjaan yang lebih berkualiti untuk rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 di MITEC, di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata agenda nasional, AIR 2040 adalah satu pelan tindakan yang jauh ke hadapan yang bukan sekadar bertujuan untuk menyelesaikan isu keterjaminan bekalan air malah mencakupi potensi yang lebih luas termasuk menjadikan air sebagai satu peluang ekonomi bagi negara.
Tegasnya, transformasi sektor air merupakan salah satu agenda utama selari dengan visi Malaysia MADANI yang menekankan aspek kemampanan, kesejahteraan dan keterjaminan.
"Pelan ini turut seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 6 iaitu memastikan akses kepada air bersih dan sanitasi untuk semua.
"Sebagai salah satu AIR 2040 bertujuan mentransformasi sektor air menjadi mampan dan pemangkin pembangunan, ia untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menjamin bekalan air berkualiti, mewujudkan peluang pekerjaan dan memajukan pembangunan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) serta penyelidikan," tambahnya.
Jelasnya lagi, matlamat ini boleh dicapai dengan menjamin keselamatan dan kemampanan air serta menjadikan air sebagai peluang ekonomi negara.
"Terdapat beberapa sebab utama mengapa transformasi sektor air ini begitu kritikal untuk kita laksanakan.
"Peningkatan pelaburan dalam teknologi air, penyelidikan dan pembangunan kemahiran mampu menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam sektor ini.
"Langkah ini bukan sahaja bakal menarik pelaburan asing, malahan turut mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu AIR 2040 yang dilaksanakan dalam tempoh 20 tahun menerusi empat fasa di bawah Rancangan Malaysia, bakal memacu keterjaminan dalam aspek kesejahteraan rakyat melalui penerapan lapan pemacu perubahan untuk memperkasa lanskap sektor air negara secara holistik.