Lelaki hilang dibawa arus deras semasa menyeberang sungai di Kampung Terusan Jaya Sematan

LUNDU -- Kegembiraan seorang lelaki berenang ke seberang dengan membawa hasil siput bertukar tragedi selepas hilang dibawa arus deras sungai di Kampung Terusan Jaya Sematan petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 3.50 petang.

"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kejadian yang mana mangsa dikatakan dibawa arus air pasang semasa berenang menyeberangi sungai pada jam 2.10 petang," ujar beliau.

Makluman awal yang diterima mengatakan semasa kejadian dua orang saksi ternampak mangsa iaitu Mohamad Nazratul Kamil, 26, memakai baju berwarna oren dan berseluar jeans pendek dipercayai membawa hasil sungai (siput).

Sebagai tindakan awal operasi memcari dan menyelamat (SAR) mangsa, pasukan bomba melakukan usaha pencarian di sekitar tebingan sungai manakala orang kampung menggunakan bot.

Pasukan bomba dalam masa sama turut melakukan usaha SAR dengan menggunakan kapal ikan yang terdapat di kampung berkenaan.
Next Post Previous Post