Lelaki acu pisau kepada anggota polis ditangkap, akan direman esok

KOTA SAMARAHAN-- Seorang lelaki yang mengacu pisau kepada anggota polis yang hendak menolongnya dalam insiden di Jalan Expressway Samarahan-Kuching berhampiran La Promenade hari ini ditangkap.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Jaimi Husin berkata, lelaki tempatan berusia 24 tahun itu berjaya ditahan dengan bantuan anggota Bomba yang turut berada di lokasi.

"Bilik Gerakan IPD Kota Samarahan telah menerima maklumat dari orang awam sekitar jam 11.35 pagi mengatakan sebuah kereta jenis Myvi telah terbabas di Jalan Expressway Samarahan - Kuching berhampiran La Promenade.

"Anggota Pasukan Kereta Peronda (MPV) yang bertugas telah tiba di tempat kejadian dan cuba memberikan bantuan kepada pemandu terbabit.

"Semasa anggota Polis cuba mengeluarkan lelaki yang merupakan pemandu kenderaan yang terlibat, tiba-tiba lelaki tersebut telah mengacukan sebilah pisau kepada anggota yang bertugas.

"Lelaki tersebut telah cuba ditenangkan namun gagal memberikan kerja sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, tegasnya lelaki terbabit ditangkap.

Sebelum itu, katanya, kereta yang dipandu suspek telah melanggar empat buah kenderaan mengakibatkan suspek hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit.

Jelas Jaimi, suspek dipercayai dalam perjalanan dari Kuching ke Kota Samarahan.

"Suspek telah ditangkap dan turut dirampas sebilah pisau yang digunakan suspek.

"Suspek akan direman esok untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Menurutnya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya.
Next Post Previous Post