Kontraktor Bintulu rugi RM1.2 juta terpedaya pelaburan tidak wujud

KUCHING-- Seorang kontraktor di Bintulu rugi RM1.2 juta selepas menjadi mangsa kes penipuan pelaburan tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, mangsa lelaki tempatan berusia 60-an memaklumkan pada pertengahan Jun 2024, dia menerima pesanan ringkas daripada seorang individu yang tidak dikenali iaitu suspek yang memperkenalkan diri dari sebuah syarikat pelaburan. 

"Suspek menawarkan khidmat rundingan penjualan dan pembelian saham yang menjanjikan kadar faedah yang tinggi kepada mangsa. 

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran suspek, telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi Whatsapp dan mangsa telah memberikan maklumat peribadi kepada suspek untuk mendaftar dalam pelaburan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa yang terpedaya telah melakukan beberapa transaksi wang dalam talian secara berperingkat ke dalam aplikasi 'l-Trader Max' yang diberikan oleh suspek berjumlah lebih kurang RM1,200,000. 

"Mangsa telah menyedari dirinya ditipu apabila mangsa masih belum menerima sebarang pulangan keuntungan daripada pelaburan tersebut," ujarnya.
Next Post Previous Post