Kes buang bayi di Sibu, remaja perempuan berusia 14 tahun dan lelaki ditangkap

SIBU-- Pasangan yang disyaki terlibat dalam kes buang bayi lelaki yang ditemukan masih bertali pusat dan uri dalam kontena ikan di Jalan Tong Sang di sini hari ini berjaya ditangkap.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata yang mengesahkan tangkapan itu berkata, lelaki tempatan berumur 44 tahun dan remaja perempuan tempatan berumur 14 tahun ditangkap hari ini.

"Permohonan reman kedua-dua suspek akan dibuat esok hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi tersebut. 

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun, atau didenda, atau dengan kedua-duanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, bayi yang masih hidup terbabit dijumpai oleh seorang lelaki sekitar jam 8.30 pagi tadi di kawasan lot kedai Jalan Tong Sang, Sibu. 

Kata Zulkipli bayi tersebut dijumpai bersama uri bertali pusat dan disyaki lahir kurang dari 24 jam. 

"Bayi tersebut disedari oleh saksi ketika dia melalui kawasan tersebut.

"Bayi tersebut kemudian telah dihantar ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut," jelasnya.

Tambahnya, pemeriksaan oleh doktor kecemasan mendapati bayi seberat 
1.48 kilogram itu dilahirkan normal. 

Katanya lagi tiada kesan kecederaan pada tubuh badan bayi dan kini berada di Hospital Sibu.

"Justeru, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut supaya tampil memberi kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 084-364373 atau
pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Zam Zam Ismail di talian 014-9067909," ujarnya.
Next Post Previous Post