Isu gas di Sarawak antara PETRONAS, PETROS selesai-Abang Johari
KUCHING-- Perbincangan antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) mengenai pengagihan gas asli di Sarawak selesai, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau memberitahu, perkara itu dimaklumkan oleh pihak PETRONAS kepada Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi secara tidak rasmi.
"Perkara itu sudah selesai. Bermakna kita akan teruskan usaha kita sebagai aggregator (gas di Sarawak). Formula dan butiran terperinci akan dibincangkan lebih lanjut.
"Namun, secara prinsipnya mereka bersetuju," katanya ketika ditemui pemberita selepas berkunjung ke Rumah Terbuka Deepavalli di kediaman Dato Dr. Kalwinder Singh Khaira di Lorong Sungei Tengah, di sini hari ini.
Tambah Abang Johari, PETRONAS juga akan menghantar surat rasmi kepada Sarawak berhubung persetujuan itu.
"PETRONAS sudah memberi maklumat kepada Julaihi secara tidak rasmi tetapi surat rasmi mengenai persetujuan itu akan dihantar kepada Sarawak," katanya.
Sebelum ini, kerajaan Sarawak memberikan tempoh tiga bulan sehingga Oktober untuk PETRONAS menyelesaikan isu mengenai susunan penyeliaan pengagihan gas di Sarawak dengan PETROS.
Abang Johari berkata, sebagaimana yang telah diputuskan, PETROS mempunyai kuasa dari sudut kawal selia pengagihan gas di negeri ini sepenuhnya bermula 1 Julai tahun ini.
Bagaimanapun katanya, pihak PETRONAS meminta penangguhan pengambilalihan itu berikutan kebimbangan pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas.
“Kita memahami kebimbangan mereka dan menghormatinya. Jadi kita beri mereka tempoh tiga bulan sahaja kerana kita juga ada ekuiti dalam LNG.
“Tetapi 1 Oktober mesti selesai, kalau tidak kita akan jalankan kawal selia kerana syarikat yang lain semua sudah tandatangan,” katanya.
Abang Johari turut menjelaskan Sarawak beroperasi bawah dua undang-undang dalam isu pengagihan gas asli, iaitu Akta Kemajuan Petroleum 1975 (PDA), dan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO).
“OMO wujud lebih awal daripada PDA, malah sebelum Malaysia dibentuk. Undang-undang ini masih sah, dan kita tidak memansuhkannya.
"Jadi ini bererti ia perlu wujud bersama PDA, dan kita akan memberikan pengecualian dari segi pengagihan gas secara domestik," ujarnya.