Individu bergelar Datuk antara dua ditahan SPRM, disyaki beri rasuah aktiviti seleweng diesel di Sibu

SIBU-- Dua individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan dipercayai memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguat kuasa dan menyeleweng minyak diesel bersubsidi di sini.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini, kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 60-an itu dipercayai telah memberi rasuah kepada beberapa penguat kuasa sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat tempat mereka bekerja yang dipercayai telah menyeleweng diesel bersubsidi.

Jelasnya, salah seorang suspek ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sibu manakala seorang lagi ditahan di sebuah pusat perubatan di daerah ini sekitar jam 11.20 pagi tadi hingga 12.30 tengah hari, hari ini.

"Suspek lelaki dan wanita ini masing-masing berjawatan sebagai pengerusi dan pengarah sebuah syarikat yang menguruskan pembelian dan penjualan minyak diesel bersubsidi.

"Namun, mereka disyaki telah menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan menyeludup dan menjual kepada pihak luar serta bagi melindungi kegiatan itu, mereka dipercayai memberi wang rasuah kepada beberapa penguat kuasa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Katanya, kedua-dua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dikehendaki membayar wang jaminan RM50,000 tunai dan RM50,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin.
Next Post Previous Post