Ibu maut, anak lelaki cedera dalam insiden kereta rempuh van yang diletakkan di tepi jalan Gedong-Simunjan

SIMUNJAN--Seorang wanita berusia 56 tahun menemui maut selepas kereta jenis Proton Saga yang dinaikinya merempuh sebuah van model Nissan Vanette yang diparkirkan di tepi jalan dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Gedong-Simunjan pada jam 3.01 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan anggota dari BBP Simunjan bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan bagi menyelamat serta mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Sampai di lokasi, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit pada bahagian kerusi duduk penumpang hadapan kereta manakala anak lelakinya yang merupakan pemandu kereta berusia 37 tahun mengalami kecederaan," jelasnya.

Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa, Irim Gintang, 56, yang tersepit dalam kereta dengan menggunakan peralatan khas.

Sejurus berjaya dikeluarkan, pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Pihak Bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja pembersihan jalan dan sisa kemalangan sebelum menamatkan operasi pada jam 4.07 petang dan seterusnya bertolak balik ke balai.
Next Post Previous Post