Gula 456 kg dirampas, dua wanita warga asing ditangkap
KUCHING-- Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa menahan dua wanita warga asing dan merampas 456 kilogram (kg) gula pasir kasar dan gula putih jernih di sini semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak Matthew Dominic Barin berkata, KPDN Cawangan Sri Aman menerima kes serahan daripada PGA, melibatkan aktiviti penyelewengan barang kawalan iaitu gula.
"Hasil pemeriksaan KPDN Cawangan Sri Aman telah menyita kenderaan dan barang kawalan seperti Gula Pasir Kasar 1kg anggaran 360 kg dan Gula Putih Jernih 800g anggaran 96 kg dan sebuah kenderaan Toyota Model Avanza dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM71,530," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, dua wanita warga asing yang ditahan telah diserahkan kepada pasukan operasi KPDN Cawangan Sri Aman.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki atau ada dalam kawalan barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak akan melakukan kesalahan.
"Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda (i) Jika orang itu ialah satu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi dua juta ringgit bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi lima juta bagi kesalahan kedua.
"Atau (ii) Jika orang itu bukan satu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi satu juta ringgit bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya dan denda tidak melebihi tiga juta bagi kesalahan kedua atau penjara tidak melebihi tempoh selama lima tahun atau kedua-duanya," jelasnya.
Menurutnya lagi, siasatan lanjut akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran barang kawalan iaitu gula termasuklah sumber barang kawalan gula diperolehi dan edaran mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat dapat menjadi mata dan telinga bagi membantu KPDN dengan menghulurkan maklumat sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi bagi memastikan aktiviti penyelewengan ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran WhatsApp 019-848 8000 Portal Aduan; e-aduan.kpdn.gov.my Call Centre 1-800-886-80, dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN," ujarnya.