"Geng Dexter" aktif curi kabel, komponen menara telekomunikasi tumpas

KUCHING-- Polis Sibu berjaya menumpaskan "Geng Dexter", kumpulan yang bergiat aktif mencuri kabel dan komponen di menara pencawang telekomunikasi semenjak awal 2024.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, kejayaan itu menerusi operasi khas bersepadu, Op Lusuh yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dengan tertangkapnya tiga lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 40 tahun.

"Modus operandi ahli kumpulan ini adalah menyasarkan menara pencawang telekomunikasi di kawasan terpencil, mencuri kabel serta komponen bateri, kemudian menjualnya untuk mendapatkan hasil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, ketiga-tiga suspek berjaya ditangkap hasil daripada beberapa siri serbuan bermula pada 3 dan 4 Oktober lalu.

"Kesemua suspek masih di dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut," tegasnya.

Tambahnya, hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan jenayah harta benda dan penyalahgunaan dadah.

"Dengan tertumpasnya kumpulan ini, pihak kami percaya telah berjaya menyelesaikan sebanyak 15 kes melibatkan curi kabel di menara pencawang telekomunikasi di sekitar Sibu yang melibatkan nilai kerugian mencecah RM45,000. 

"Kesemua kes yang terlibat disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, kerana mencuri," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai khususnya masyarakat Sibu di atas kerjasama dan maklumat yang disalurkan hingga tertumpasnya kumpulan penjenayah ini.
Next Post Previous Post