Dua wanita parah, kereta terjunam ke dalam gaung berhampiran bulatan Pekan Sematan
LUNDU -- Dua wanita mengalami kecederaan selepas kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terjunam ke dalam gaung berhampiran bulatan menuju Pekan Sematan di Jalan Telok Melano-Sematan dalam insiden yang berlaku awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 5.24 pagi.
"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan kendiri yang membabitkan sebuah kereta produa Myvi yang terjatuh ke gaung tepi jalan berhampiran bulatan menuju ke Pekan Sematan yang mana terdapat dua mangsa berada dalam kereta," ujarnya.
Katanya, mangsa pertama yang tersepit telah dikeluarkan oleh pasukan APM dengan bantuan PDRM lalu dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans APM, manakala mangsa kedua dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan menggunakan "rescue tools" sebelum seterusnya diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.
Setelah keadaan terkawal dan didapati benar-benar selamat, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 6.10 pagi sebelum bertolak balik ke balai.