Diugut bakar firma guaman, rumah kerana bantu mangsa scammer-Milton
KUCHING-- Gara-gara sering menerima aduan berkaitan kes penipuan atau scammer dan membantu mangsa, Milton Foo tidak terlepas daripada terima ugutan scammer.
Perkara ini dikongsikan Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
"Mereka (scammer) ugut untuk membakar firma guaman saya. Janganlah berlebih-lebihan. Mereka berani mengugut saya. Negara ini ada peraturan dan undang-undang," tegasnya.
Milton yakin scammer-scammer ini menyamar.
"Malah tahun lepas along pernah mengugut untuk membakar rumah saya selepas saya membantu mangsa kes penipuan," tambahnya.
Terdahulu, beliau berkongsi kes seorang wanita muda yang menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud.
"Mangsa berasal dari Miri berusia 26 tahun dan bekerja di Kuching dikatakan mahu membuat pinjaman sebanyak RM50,000.
"Pada malam 20 Oktober, mangsa melihat iklan berkaitan pinjaman di Facebook dan keesokannya (21 Oktober) sekitar jam 3 petang dia menerima Whatsapp yang meminta penyata gaji, penyata bank dan dokumen pengenalan diri.
"Pada jam 7 malam dia menerima panggilan bahawa pinjamannya itu telah diluluskan dan meminta maklumat lanjut berkaitan akaun bank dan nombor telefon keluarga," jelasnya.
Selepas itu, katanya, mangsa diberitahu oleh suspek bahawa mereka mahu memeriksa kredit mangsa dan memerlukan mangsa memasukan RM2,000 pendahuluan.
"Suspek mengatakan akan memulangkannya semula dengan nilai RM3,000 dan disebabkan itu mangsa merasakan sesuatu tidak kena," katanya.
Pada hari yang sama, kata Milton, mangsa memutuskan untuk tidak mahu meneruskan pinjaman itu.
Pada keesokannya pula, katanya mangsa menerima sejumlah wang RM100 yang dimasukkan ke dalam akaun banknya.
Pada hari berikutnya, mangsa diminta untuk membayar pampasan sebanyak RM2,900 kerana membatalkan pinjaman tersebut.
"Mangsa juga diugut oleh suspek dan mereka mengatakan akan menggunakan maklumat peribadi mangsa untuk membuat pinjaman bank dalam talian," tambahnya.
Susulan itu, mangsa tampil bertemu Milton untuk mendapatkan nasihat dan bantuan.
Selain itu, katanya, mangsa juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Sehubungan itu, Milton menggesa orang ramai untuk lebih berhati-hati ketika menggunakan Facebook terutamanya berkaitan pinjaman dan sebagainya.
Tegasnya, iklan-iklan seperti itu kebanyakannya adalah penipuan.