Budak perempuan 9 tahun azab setengah jam, kaki tersepit rantai motosikal
MIRI -- Gara-gara kanak-kanak dibiarkan menunggang motosikal tanpa lesen, seorang budak perempuan berusia 9 tahun menahan azab setengah jam selepas kaki kirinya tersepit pada rantai motosikal.
Insiden itu berlaku apabila motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan kendiri di Jalan Miri Bypass petang tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak, sepasukan anggota bomba bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 4.30 petang bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat serta mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.
"Tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya insiden yang melibatkan kaki mangsa tersepit pada rantai motosikal," jelas beliau.
Setelah "size up" dilakukan, pasukan bomba bertindak mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas seterusnya bertindak memotong rantai motosikal tersebut sebelum dapat mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.
Sejurus itu, mangsa diserahkan kepada Unit Ambulans Hospital Miri bagi diberikan rawatan lanjut.