Bergaduh kerana tempat duduk, tujuh ditangkap seorang masih diburu

KUCHING-- Gara-gara berebut duduk di ruang pelepasan di Lapangan Terbang Miri, tujuh lelaki ditangkap selepas disyaki memukul seorang lelaki lain di tepi jalan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di Kulai, Johor.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee, berkata suspek berusia 25 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan sekitar Skudai dan Johor Bahru, kira-kira 8 malam Isnin hingga 12.30 tengah malam.

"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca selisih faham yang bermula hanya disebabkan perebutan tempat duduk di ruang pelepasan di Lapangan Terbang Miri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Selain tangkapan, katanya polis turut merampas dua buah kenderaan saloon jenis Honda Accord dan Mazda 6 beserta alat kawalan jauh, empat telefon bimbit dan dua batang kayu rotan.

"Hasil semakan rekod mendapati empat suspek mempunyai pelbagai rekod lampau jenayah dan dadah. 

"Siasatan awal pihak polis dapati punca kejadian adalah perselisihan faham antara mangsa dan seorang suspek yang masih bebas," jelasnya.

Tegas Tan, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Selain itu, katanya kes juga disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh didenda atau dipenjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Reman telah dimohon ke atas kesemua suspek dan telah mendapat kelulusan reman selama empat hari bermula 8 hingga 11 Oktober bagi meneruskan siasatan," ujarnya.

Terdahulu, katanya, polis mengesan satu video yang dimuat naik pemilik akaun Facebook 'This Is Johor' jam 9.15 malam Isnin yang memaparkan sekumpulan lelaki bertindak seperti samseng di tepi jalan dengan memukul seorang lelaki lain.

Susulan kejadian itu, katanya, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun tampil membuat laporan polis.

Dalam kejadian itu, jelas Tan, mangsa mengalami cedera ringan, luka calar dan bengkak.

Menurutnya lagi kejadian itu berlaku di hadapan sebuah stesen minyak berhampiran LTAS jam 1.30 tengah hari semalam.

"Mangsa dan suspek yang saling tidak mengenali mula berselisih faham kerana tegur-menegur antara satu sama lain ketika di Lapangan Terbang Miri," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak bertindak di luar batasan undang-undang.

"Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan undang-undang dipatuhi dan mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggar undang-undang akan diambil tindakan," ujarnya.
Next Post Previous Post