Bengkel di Kampung Bangka Semong rosak teruk dirempuh Toyota Rush

KOTA SAMARAHAN-- Sebuah bengkal di Kampung Bangka Semong di sini rosak teruk akibat dilanggar sebuah kenderaan Toyota Rush awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Jaimi Husin berkata, dalam kejadian sekitar jam 2.15 pagi itu kenderaan berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh bengkel tersebut.

"Akibat kejadian itu bumbung bengkel telah roboh dan menghempap dua buah kenderaan milik bengkel dan menyebabkan kerosakan.

"Walau bagaimanapun pemandu kenderaan yang merempuh bengkel tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan insiden itu katanya, pemilik bengkel tampil membuat laporan polis.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Rule 10 LN166/59.

Justeru, beliau menasihati orang ramai terutamanya pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan semasa memandu untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Next Post Previous Post