Anggaran bil elektrik boleh diseleraskan jika SEB dapat bacaan sebenar meter

KUCHING-- Pelanggan Sarawak Energy Berhad (SEB) yang dikenakan bil mengikut anggaran boleh menyelaraskan bil mereka sebaik sahaja bacaan sebenar diambil.

 SEB dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya amat komited untuk memastikan kadar caj bil yang adil dan tepat untuk semua pelanggannya di negeri ini.

"Pelanggan menerima anggaran bil jika pembaca meter kami tidak dapat mengakses meter mereka kerana isu seperti pagar berkunci atau meter yang dipasang pada dinding sisi (sukar dilihat).

"Sebaik sahaja bacaan sebenar diambil, anggaran bil ini boleh diselaraskan, yang boleh mengakibatkan sama ada caj berlebihan atau kurang caj," katanya.

Justeru, jelas SEB, bagi pelanggan yang telah terlebih bayar, pihaknya menawarkan dua pilihan iaitu bayaran balik atau pilihan untuk menggunakan lebihan jumlah tersebut pada bil masa hadapan.



"Bagi mereka yang kurang bayaran pula kerana terkurang daripada meter lama, SEB akan mengeluarkan bil 'catch-up' berdasarkan bacaan sebenar yang diambil dari meter lama," katanya.

Dalam pada itu, SEB menggalakkan pengguna menggunakan meter pintar SEB yang boleh memberikan bacaan tepat yang mencerminkan penggunaan sebenar. 

"Pelanggan kami boleh memantau penggunaan mereka dalam masa nyata melalui aplikasi mudah alih kami, SEB cares, dan melaraskan penggunaan mereka dengan sewajarnya.

"Jika anda melihat sebarang ketidakkonsistenan atau perubahan yang tidak dijangka dalam bil anda, kami menggalakkan anda untuk menghubungi kami.

"Perubahan pengebilan juga mungkin disebabkan oleh faktor seperti penyingkiran diskaun kerajaan atau peningkatan penggunaan, seperti penggunaan penghawa dingin yang lebih tinggi semasa cuaca panas baru-baru ini," ujarnya.

Oleh itu, katanya orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan SEB di talian 1-300-88-3111, melalui e-mel di customercare@sarawakenergy.com, melalui ejen maya CARINA, melalui aplikasi SEB cares, atau dengan melawati Kaunter Perkhidmatan Pelanggan terdekat.
Next Post Previous Post