Air keruh, arus deras sukarkan operasi mencari lima mangsa bot karam, diharap semua dapat dijumpai-Abg Jo
KUALA LUMPUR-- Keadaan air sungai yang keruh dan arus deras menyukarkan pasukan mencari dan menyelamat lima mangsa bot karam di Sungai Sarawak berhampiran kawasan Bintawa di sini pada Jumaat , kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sehubungan itu, beliau berharap kelima-lima mangsa dapat ditemukan dalam masa terdekat ini.
Walaupun belum menerima laporan akhir tragedi itu, Abang Johari berkata, operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan.
"Saya belum lagi menerima maklumat terakhir tetapi pihak pengurusan bencana masih lagi mencari.
"Mereka dikatakan sedang menjalani latihan untuk regata dan disebabkan gelombang dari kapal yang lalu bot mereka telah karam di mana sebelas orang mangsa terselamat.
"Lima lagi mangsa belum dijumpai. Masalahnya air sungai keruh dan arus agak deras, kita lihatlah dalam masa terdekat ini mudahan dapat ditemukan kesemua mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden yang melibatkan pasukan dari Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Jabatan Premier Sarawak selepas sesi dialog awam Lan Berambeh Anak Sarawak 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Setakat ini, lima mangsa yang belum dijumpai adalah Mohammad Ikhmal Sama'ail, 34, Majurie Maharuf, 32, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26, Mohamad Khairul Bidin, 26, dan Muhammad Khairul Hisham Kasturi, 23.
Terdahulu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata, dalam insiden bot karam itu, 11 orang berjaya menyelamatkan diri manakala lima mangsa dilaporkan hilang.
Jelasnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 4.20 petang Jumaat dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya ke lokasi.
"Sebelas orang berjaya menyelamatkan diri manakala lima orang masih gagal dijumpai," katanya.