56 unit BAS.MY di Kuching tahun depan
KUCHING-- Bandar raya Kuching dipilih sebagai lokasi Program Perintis Bas Berhenti-henti (SBST) antara kerajaan persekutuan dan Biaramas Express Sdn Bhd.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak Michael Kong Feng Nian berkata, program perintis ini menandakan satu langkah penting ke arah menyediakan rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam yang mudah, stabil dan saling berkaitan untuk penduduk Kuching.
"Kami sangat teruja untuk mengumumkan pemberian kontrak untuk SBST di Kuching.
"Matlamat kami adalah untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam, menjadikannya lebih mudah dan menarik, yang kami percaya akan menggalakkan lebih ramai penduduk memilih pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, ini dapat mewujudkan rangkaian pengangkutan awam yang bertenaga dan cekap bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi juga memupuk rasa tanggungjawab masyarakat dan alam sekitar.
"Kami teruja Biaramas Express Sdn Bhd dapat bersama-sama untuk menjayakan program SBST ini.
"Pengalaman dan komitmen mereka terhadap perkhidmatan bas di Kuching menjadikan mereka rakan kongsi yang ideal dalam usaha ini.
"Dengan peralihan mereka kepada program SBST baharu, kami yakin operasi bas di Kuching akan menyaksikan perubahan yang positif dan memberi impak," jelasnya.
Di bawah program SBST baharu, kata Michael, kesemua 56 bas akan membawa jenama 'Bas.My', satu inisiatif oleh Kementerian Pengangkutan Persekutuan.
"Penjenamaan ini melambangkan usaha kolektif kami untuk meningkatkan standard pengangkutan awam dan kualiti perkhidmatan.
"Semasa kami memulakan perjalanan ini, LPKP Sarawak komited untuk melakukan yang terbaik untuk membawa penambahbaikan ketara kepada pengangkutan awam dan memartabatkan industri kenderaan komersial.
"Kami tidak sabar-sabar menantikan sistem pengangkutan awam yang lebih mantap dan komprehensif di Kuching tahun depan," ujarnya.
Justeru, beliau berharap program perintis itu hanyalah permulaan dan ia akan membuka jalan untuk projek serupa di bandar-bandar lain di seluruh Sarawak.