3, 310 penduduk dari 62 kampung dan rumah panjang sepanjang Jalan Labang-Tubau bakal menikmati bekalan air bersih
BINTULU -- Penantian berpuluh tahun 3, 310 penduduk dari 62 kampung dan rumah panjang sepanjang Jalan Labang-Tubau berakhir melalui perlaksanaan projek bekalan air berimpak tinggi bernilai RM130.6 juta dilaksanakan di kawasan Labang-Tubau kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi.
Beliau berkata, projek terbabit sedang dilaksanakan pada masa sekarang bagi menambahbaikan sistem bekalan air terawat di kawasan terbabit.
Projek bekalan air ini katanya akan dilaksanakan melalui dua pakej iaitu bagi pakej pertama iaitu melalui Program Grid Bekalan Air Sarawak di kawasan kritikal sepanjang Jalan Bakun dari kawasan Labang ke Tubau yang mana skop projek ini melibatkan kerja-kerja pemasangan paip pelbagai saiz sepanjang 98 kilometer.
Bagi pakej yang ke-2 pula, ianya merangkumi kawasan kritikal sepanjang Bakun dari kawasan Laban ke Tubau.
"Skop projek ini juga turut melibatkan pembinaan loji rawatan air yang berkapasiti 10 juta liter sehari yang melibatkan pembinaan dua unit tangki aras tinggi berkapasiti 3.5 juta liter, pembinaan satu unit reservoir berkapasiti 3ML, pembinaan permukaan air sauk dan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal yang berkaitan," jelasnya.
Menurut Julaihi, apabila projek ini siap sepenuhnya pada suku kedua 2026, ia akan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan meningkatkan liputan air bersih ke 62 rumah dan kampung di Kawasan Labang ke Tubau Bakun sekaligus memberi jaminan peningkatan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada 3,310 penduduk di kawasan tersebut.
"Bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di Bahagian Bintulu, JBALB Sarawak akan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat
pelaksanaan akan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan," jelas beliau.
Projek-projek tersebut merupakan sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh.