Wanita di Bintulu rugi RM140,000 terpedaya cinta doktor Cuba
KUCHING-- Terpanah dek cinta seorang lelaki berstatus doktor di Cuba, seorang wanita berusia lewat 50-an rugi RM140,000 setelah menjadi mangsa "Love Scam".
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai di Bintulu itu tampil membuat laporan berhubung kes itu.
"Pada sekitar penghujung Jun 2024, semasa berada di rumahnya,
mangsa telah melayari laman sosial Facebook dan berkenalan dengan
seorang lelaki bernama "Genghis Guo" (suspek) yang bekerja sebagai seorang doktor di Cuba.
"Mangsa telah berhubung dengan suspek melalui Facebook messenger dan suspek berjanji akan berjumpa dengan mangsa selepas balik ke Melbourne, Australia.
"Pada pertengahan Ogos 2024, suspek telah memberitahu mangsa bahawa dia telah berhenti kerja sebagai doktor dan meminta bantuan mangsa untuk membayar penalti kerana telah melanggar kontrak pekerjaannya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mancha pada penghujung Ogos 2024, suspek sekali lagi meminta mangsa untuk membayar penalti pelanggaran kontrak pekerjanya di Cuba dan berjanji akan membayar semula wang mangsa apabila tiba di Australia.
Jelasnya lagi, kemudiannya, mangsa telah menerima email daripada penama "Tyler Clark yang memperkenalkan dirinya sebagai perunding majikan suspek.
"Dia menyatakan bahawa suspek mengalami kemalangan dan kini dalam keadaan yang kritikal.
"Penama 'Tyler Clark mengatakan suspek berhenti kerja kerana ingin berjumpa dengan mangsa dan memberitahu suspek akan ditangkap oleh pihak polis sekiranya gagal membayar kos rawatannya.
"Mangsa yang terpedaya telah membuat pembayaran secara pindahan dalam talian bermula daripada pertengahan Ogos 2024 sehingga penghujung Ogos 2024 sehingga menyebabkan kerugian lebih kurang RM140,000," katanya.
Katanya, mangsa menyedari ditipu apabila masih diminta untuk membuat transaksi lain sehingga kini mangsa masih belum menerima sebarang bayaran daripada suspek.