Usaha stabilkan harga barangan, perkhidmatan mampu milik sentiasa jadi keutamaan Kerjaan MADANI-Fadillah
KOTA KINABALU-- Usaha untuk menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan serta bersifat mampu milik akan sentiasa menjadi usaha berterusan kerajaan, selaras dengan tonggak utama Kerajaan MADANI dalam memelihara kesejahteraan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, dalam Belanjawan 2025, kerajaan akan memberi fokus kepada beberapa strategi dalam menstabilkan inflasi sekali gus menangani cabaran kenaikan kos sara hidup rakyat.
"Saya juga sangat mengalu-alukan inisiatif baharu sama ada ia bersifat jangka masa pendek, sederhana atau panjang terutama jika ia mampu memberi kesan langsung dalam tujuan menstabilkan harga barangan.
"Ini sekali gus memberi manfaat kepada rakyat dalam membantu mereka mendepani cabaran kos sara hidup sama ada pada masa sekarang atau pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadillah berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan Bilangan 2 Tahun 2024 di sebuah hotel di Kota Kinabalu, hari ini.
Mengenai mesyuarat itu, beliau menjelaskan ini adalah mesyuarat kedua jawatankuasa itu setelah bersidang buat pertama kalinya pada 7 Mac 2024 di Kuala Lumpur dengan kehadiran wakil-wakil beberapa kementerian, jabatan dan agensi sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.
"Saya telah memohon supaya beberapa agensi terutamanya di negeri-negeri yang terlibat untuk dimasukkan sebagai ahli di dalam jawatankuasa ini agar perbincangan jawatankuasa dapat merangkumi pelbagai aspek yang relevan kepada usaha penstabilan harga.
"Selaras dengan agenda 'whole-of-nation approach', saya melihat bahawa terdapat keperluan daripada lebih banyak pihak berkepentingan untuk sama-sama bekerjasama dalam memberi sumbangan agar matlamat penubuhan jawatankuasa ini tercapai dengan jayanya," tambahnya.
Hadir sama pada mesyuarat itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib.