Urus tiga anjing miliknya yang mati mengejut, wanita dari Sebauh jadi korban baharu rabies

KUCHING-- Angkara urus tiga bangkai anjing peliharaan yang mati mengejut, seorang wanita berasal dari Sebauh, Bintulu menjadi korban baharu wabak rabies dalam kalangan manusia di Sarawak.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Veronica Lugah berkata, mangsa berusia 32 tahun itu disahkan meninggal dunia pada 31 Ogos 2024 di Hospital Bintulu.

"Mangsa mula mengalami demam pada 24 Ogos 2024 dan pada 27 Ogos 2024, beliau mengalami lemah pada bahagian anggota kedua-dua kaki, hypersalivating, hydrophobia, aerophobia, agresif, halusinasi dan sensitif pada cahaya. 

"Mangsa telah mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Bintulu pada 28 Ogos 2024. 

"Sampel klinikal yang diuji telah mengesahkan beliau dijangkiti rabies," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelas Dr Veronica, berdasarkan hasil siasatan, kes mempunyai sejarah mengendalikan tiga bangkai anjing peliharaannya yang mati dalam keadaan mulut berbuih tanpa sebarang alat perlindungan diri pada Julai 2024 di Sebauh, Bintulu. 

Malah, katanya, anjing berkenaan tidak diberi vaksinasi antirabies selain bebas bercampur dengan haiwan liar.

"Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Veronica berkata, dengan pertambahan kes baharu ini, kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan semenjak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sehingga kini adalah sebanyak 81 kes dengan seramai 74 kematian. 

"Daripada 81 kes ini, hanya enam enam kes telah dilaporkan dalam tahun ini, dan kesemua kes telah disahkan meninggal dunia akibat komplikasi daripada jangkitan rabies. 

"Ini merupakan penurunan berbanding dengan tempoh yang sama pada 2023, dengan 16 kes termasuk 14 kematian dilaporkan," jelasnya.

Selain itu, beliau memberitahu, kejadian gigitan anjing dan kucing di Sarawak masih tinggi. 

"Sejak 2017 sehingga Minggu Epid Ke-35 tahun 2024 (22 sehingga 31 Ogos 2024), terdapat 57,917 kes gigitan anjing, 49,693 kes gigitan/cakaran kucing dan 1,646 gigitan lain-lain haiwan telah dilaporkan," tambahnya.

Menurutnya lagi, dalam tempoh dari 1 Januari hingga 31 Ogos 2024 pula, sebanyak 12,587 kes gigitan haiwan dilaporkan.

"Secara puratanya terdapat 360 kes gigitan haiwan dilaporkan setiap minggu di Sarawak.

"6,966 kes atau 55.34 peratus adalah gigitan/cakaran kucing, 5,451 kes atau 43.30 peratus adalah gigitan anjing, manakala selebihnya 170 kes atau 1.35 peratus adalah haiwan lain-lain.

"8,703 kes atau 69.14 peratus melibatkan kes gigitan atau cakaran haiwan peliharaan manakala 3,884 atau 30.86 peratus adalah kes gigitan atau cakaran oleh haiwan liar," tegasnya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai bahawa penyakit rabies masih didapati di Sarawak dengan kadar kematian penyakit rabies amat tinggi.

"JKN Sarawak turut menasihati orang ramai yang memelihara anjing dan kucing agar menjadi pemilik haiwan yang bertanggungjawab. 

"Orang ramai harus sentiasa berwaspada agar tidak terdedah kepada haiwan yang berkemungkinan dijangkiti rabies," ujarnya.
Next Post Previous Post