Rumah panjang Tuai Rumah Nura Bulin terbakar, 23 keluarga hilang tempat berteduh
BINTULU -- 350 penghuni dari 23 keluarga dari Rumah panjang Tuai Rumah (TR) Nura Bulin di Sungai Teban Jalan Bintulu-Bakun musnah dalam kebakaran yang berlaku petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada jam 3.32 petang bagi menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran.
Adalah difahamkan bahawa pasukan BBP Bintulu dan BBP Samalaju sedang dalam perjalanan menuju ke lokasi kebakaran dengan menggunakan Jalan Bintulu-Bakun.
"Kebakaran yang berlaku telah memusnahkan keseluruhan struktur blok bangunan rumah panjang jenis tidak kekal terbabit," jelasnya.
Bagaimanapun, sebuah lagi blok rumah panjang di hadapan dilaporkan terselamat dalam kebakaran yang berlaku.
Setakat ini, kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
Pasukan bomba katanya mengalami masa hampir dua jam bagi memadam kebakaran yang mana api terkawal sepenuhnya pada jam 5 petang.