Rompak bersenjata kafe di Jalan Matang, mahkamah tidak benarkan tiga sekawan diikat jamin

KUCHING-- Padah merompak sebuah kedai kafe di Jalan Matang pada 8 September lalu yang mana kejadian itu turut tular di media sosial, tiga sekawan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuching hari ini.

Muhammad Harry Moses Bodus, 36, Erwin Reynolds Majol, 29, dan Yazid Syukry Masri, 36, didakwa atas tuduhan merompak dua wanita Indonesia di kedai kafe berkenaan dengan bersenjatakan sebilah parang, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan seksyen itu, ketiga-tiga tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Iris Awen Jon. 

Berdasarkan fakta kes, ketiga-tiga tertuduh bersama seorang lelaki yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap kedua-dua mangsa pada 8 September 2024, sekitar jam 5.16 pagi di sebuah kedai kafe di Jalan Matang.

Dalam kejadian itu, kesemua tertuduh didapati mengambil wang tunai RM750, dua telefon bimbit dan beberapa dokumen pengenalan milik mangsa. 

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ruvinasini Pandian, semasa prosiding tidak menawarkan sebarang jaminan kepada ketiga-toga tertuduh kerana mengambil kira berat kesalahan, kepentingan awam dan keselamatan.

Susulan itu, Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh dilanjutkan reman hingga sebutan semula bagi pengurusan kes pada 10 Oktober depan.

Siasatan kes dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Fadini Noni.

Baru-baru ini, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian rompak itu tular di media sosial pada 8 September.

Dalam video tersebut menunjukkan beberapa orang lelaki mengacukan parang panjang kepada penjaga kedai dan beberapa pelanggan yang berada di tempat kejadian untuk menakut-nakutkan mereka.
Next Post Previous Post