Rogol kanak-kanak 12 tahun: Tiga remaja termasuk seorang warga asing ditangkap

TAWAU-- Tiga remaja lelaki termasuk seorang warga asing ditangkap kerana disyaki terlibat kes rogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, di sebuah kebun pada Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Superintendan Champin Piuh berkata, ketiga-tiga remaja terbabit berusia antara 12 hingga 14 tahun ditangkap sekitar jam 5.40 petang Jumaat.

"Ketiga-tiga suspek ditangkap susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa.

"Dua suspek adalah pemegang sijil lahir, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya dipetik menerusi laporan Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Champin berkata, siasatan awal mendapati, kejadian rogol itu berlaku kira-kira jam 9 malam pada Khamis lalu di kawasan kebun berhampiran sebuah kampung di Tawau.

Jelasnya, ketiga-tiga suspek tidak bersekolah merupakan kenalan dan tinggal sekampung dengan mangsa.

Tambahnya, kesemua suspek direman selama lima hari sehingga 2 Oktober untuk siasatan lanjut.

Tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Next Post Previous Post