Penumpang Axia parah dirempuh Proton S70 dipandu warga China
KUCHING-- Seorang penumpang cedera parah selepas kereta dinaikinya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Proton S70 yang dipandu seorang wanita warga China di Jalan Stutong Baru, awal pagi tadi.
Dalam kemalangan yang berlaku 1 pagi itu, Proton S70 yang dipandu wanita warga China, 35, bergerak laju dipercayai hilang kawalan dan merempuh penghadang konkrit lalu terbabas dan terlanggar kereta Axia yang dinaiki mangsa berusia 40 tahun.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 1.33 pagi dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya ke lokasi.
"Setiba di lokasi, mendapati kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu kenderaan Proton S70 yang dipandu seorang wanita bukan wargenegara dengan Perodua Axia dinaiki dua lelaki tempatan.
"Akibat kemalangan itu, pemandu Axia, lelaki tempatan berusia 34 tahun mengalami kecerderaan ringan dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai lokasi.
"Pihak Bomba menggunakan pengusung untuk mengeluarkan seorang lagi penumpang Perodua Axia yang mengalami kecederaan serius," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, kedua-dua mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
Sementara pemandu Proton S70 tiada mengalami kecederaan.
Punca kemalangan masih dalam siasatan polis.