Penumpang Axia parah dilanggar Proton S70 dipandu wanita China disahkan meninggal dunia

KUCHING-- Penumpang kereta Axia yang cedera parah akibat dilanggar kereta Proton S70 yang dipandu seorang wanita warga China di Jalan Stutong Baru, awal pagi tadi disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Umum Sarawak.

Perkara ini disahkan Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah yang memberitahu mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun disahkan meninggal dunia di wad kecemasan sekitar jam 3.30 pagi tadi oleh doktor Hospital Umum Sarawak. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengankutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan melulu atau merbahaya sehingga menyebabkan kematian yang boleh membawa hukuman penjara selama 10 tahun dan denda sebanyak RM50,000 jika disabit kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 Mengulas lanjut kejadian itu, Mohd Farhan berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku sekitar jam 1 pagi di Jalan Teo Kui Sing, melibatkan sebuah kereta Proton S70 dan Perodua Axia. 



"Perlanggaran berlaku apabila pemandu Proton S70 yang bergerak dari Jalan Lapangan Terbang menuju ke Jalan Stutong dipercayai telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Perodua Axia yang bergerak lurus dari arah Jalan Teo Kui Sing.

"Akibat perlanggaran itu, penumpang Perodua Axia mengalami kecederaan cedera parah dan telah disahkan meninggal dunia di wad kecemasan," jelasnya.



Difahamkan, pemandu Axia, lelaki tempatan berusia 34 tahun mengalami kecerderaan ringan dan pemandu S70, wanita warga China, 35, tidak mengalami kecederaan.

Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Charlie Aloysius di talian 014-8682068 dan di talian 082-259900 BSPTD Kuching atau mana- mana balai polis yang berhampiran.

"Orang ramai adalah dinasihati supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu serta mematuhi undang-undang jalan raya untuk mengelakkan kemalangan berlaku serta faktor-faktor lain yang diluar jangkaan," ujarnya.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 1.33 pagi dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya ke lokasi.

"Setiba di lokasi, mendapati kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu kenderaan Proton S70 yang dipandu seorang wanita bukan wargenegara dengan Perodua Axia dinaiki dua lelaki tempatan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu Axia, lelaki tempatan berusia 34 tahun mengalami kecerderaan ringan dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai lokasi. 

"Pihak Bomba menggunakan pengusung untuk mengeluarkan seorang lagi penumpang Perodua Axia yang mengalami kecederaan serius," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, kedua-dua mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

Sementara pemandu Proton S70 tiada mengalami kecederaan.

Punca kemalangan masih dalam siasatan polis.
Next Post Previous Post