Penduduk DUN Batu Kitang suarakan kebimbangan masalah bekalan air selalu terputus, peralatan rosak
KUCHING-- Rata-rata penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang berdepan dengan krisis bekalan air yang berterusan hingga kini.
Rintihan itu disuarakan penduduk menerusi sesi dialog yang diadakan oleh ADUN Batu Kitang Datuk Lo Khere Chiang bersama Timbalan Pengurus Besar Lembaga Air Kuching (LAK) di Pusat Khidmat ADUN Batu Kitang, di sini hari ini.
Menurut Ketua Kaum Kampung Bunga Rampai Rafaee Ahmad, penduduk di situ kerap menghadapi masalah bekalan air setiap hari.
"Dari pagi hingga petang tiada air, penduduk terpaksa menunggu waktu tengah malam untuk mendapatkan air, itupun sedikit saja keluar dari paip," katanya.
Pandangan yang sama disuarakan Ahli Jawatankuasa Bunga Rampai Habsah Mohamad yang sering menerima aduan daripada penduduk berhubung masalah itu.
"AJKlah tempat penduduk mengadu dan mengeluh tentang masalah ini," katanya sambil menambah masalah itu turut menyebabkan mesin basuh penduduk mengalami kerosakan.
Justeru, mereka berharap pihak LAK mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah tersebut.
"Penduduk terpaksa berjaga untuk dapatkan air pada sebelah malam dan isu ini sering kita adukan kepada LAK namun tiada tindakan atau jawapan diberikan," katanya lagi.
Selain kawasan itu, penduduk di Taman Perumahan Country Wood juga berdepan masalah sama.
Kapitan Wilbert Kho berkata, penduduk di taman berkenaan berdepan isu tekanan air rendah yang sudah berlarutan hingga lebih tiga tahun.
"Malah dalam masa dua bulan ini, air paip yang keluar adalah air milo (keruh), tidak tahu mengapa, adakah disebabkan ada pembinaan di kawasan ini atau sebagainya," katanya sambil memberitahu taman tersebut mempunyai 101 rumah.
Sementara itu, Ketua Kaum Dalie Tegalan mewakili penduduk Taman Boulder Built menghadapi masalah kejadian paip bocor yang sering berlaku di kawasan itu.
Tambahnya, terdapat juga lubang tidak jauh dari rumahnya di taman tersebut yang menjadi kebimbangkan penduduk di situ terutamanya pengguna jalan raya.
"Lubang itu sudah hampir setahun di situ, jadi saya harap pihak berkaitan dapat menembok lubang berkenaan supaya perkara tidak diingini tidak berlaku," ujarnya.
Selain itu, penduduk di Batu 10, Padawan juga berdepan masalah tekanan air rendah.
Kapitan Lim Eng Kok berkata, keadaan itu menjejaskan penduduk dan peniaga di kawasan tersebut.
"Sudah beberapa kali kakitangan LAK datang termasuk Yang Berhormat tetapi masalah ini belum juga selesai.
"Ini menyukarkan penduduk dan mereka terpaksa menggunakan air mineral," jelasnya.
Oleh itu, beliau berharap tindakan segera diambil untuk menyelesaikan isu itu.