Pemuda ditangkap bersama 991.47 gram dadah di Kampung Sibuluh, Bau

KUCHING-- Seorang pemuda yang memiliki rekod jenayah lampau diberkas bersama dadah seberat 991.47 gram bernilai RM31,727.04 di sebuah pondok di Jalan Ngori, Kampung Sibuluh, Bau semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Dr Daram Ruer berkata, suspek berusia 23 tahun ditangkap sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Bau dalam satu operasi di kampung tersebut.

"Hasil serbuan, pasukan menangkap seorang suspek dan merampas 24 peket plastik lut sinar saiz sederhana besar dan 71 peket plastik kecil dipercayai dadah yang dianggarkan seberat 991.47 gram bernilai RM31,727.04.

"Suspek yang ditangkap mempunyai kesalahan lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut didapati positif dadah amphetamine (amp) dan methamphetamine (met).

Jelasnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan untuk 4,957 orang penagih.

Selain itu, kata Dr Daram, polis juga membuat sitaan yang bernilai RM46,000.00 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Katanya, antara yang disita, sebuah kereta bernilai RM16,000, sebuah kereta bernilai RM25,000 dan sebuah motorsikal bernilai RM5,000.

Mengulas lanjut, Dr Daram berkata, modus operandi, suspek membeli dadah di tempat lain dengan cara temu janji.

"Suspek akan membekalkan peket plastik saiz sederhana besar dan peket kecil sebagai strategi kepada penagih.

"Dadah yang diperolehi akan dijual di daerah Bau," dedahnya.

Berikutan itu, tegasnya, suspek direman selama tujuh hari bermula 26 September hingga 3 Oktober di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 12 sebatan.

"Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bertekad untuk memerangi habis-habisan dadah musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN di talian 012-2087222," ujarnya.
Next Post Previous Post