Pelbagai kenderaan mewah bernilai lebih RM8 juta dirampas di Kuching

KUCHING-- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 10 kenderaan mewah pelbagai jenama bernilai lebih RM8.12 juta dalam operasi khas di sebuah premis di sini, baru-baru ini.

Pengarahnya, Norizan Yahya berkata, rampasan itu menerusi pasukan dari Unit Operasi Darat Kuching semasa membuat pemeriksaan rapi ke atas kenderaan yang terletak di dalam sebuah premis di Kuching.

Jelasnya, hasil pemeriksaan rapi terhadap kenderaan di premis berkenaan membawa kepada penemuan 10 kenderaan mewah pelbagai jenama disyaki melanggar syarat yang diperuntukkan di bawah Seksyen 75(b) Akta Kastam 1967.

“Jumlah keseluruhan nilai kenderaan yang disita termasuk duti dan cukai adalah sebanyak RM8,129,825,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Norizan berkata modus operandi syarikat ialah memindahkan kenderaan import berduti yang belum dibayar cukai tanpa kelulusan kastam dan menyimpannya di dalam premis atau gudang yang tidak dilesenkan di bawah Seksyen 65 Akta Kastam 1967 (Gudang Berlesen).

Beliau menegaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 138 Akta Kastam 1967 di baca bersama Seksyen 75(b) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, beliau memberitahu JKDM Sarawak secara aktif menjalankan operasi bagi memerangi aktiviti penyeludupan dan penjualan rokok serta minuman keras yang tak berkastam.

Dedah beliau, sepanjang bulan Julai 2024 dan Ogos 2024, JKDM Sarawak telah berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan dan penjualan rokok tak berkastam pelbagai jenama sebanyak 2,429,728 batang rokok dengan anggaran nilai termasuk duti dan cukai adalah sebanyak RM2,111,602.87.

Bagi aktiviti penyeludupan dan penjualan minuman keras tak berkastam termasuk bir, katanya, anggaran nilai termasuk duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM920,292.57..

"Oleh itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri," tambahnya.

Menurutnya lagi, JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.
Next Post Previous Post