Pelabuhan Bintulu kini miliki BOG Supply Base, pacu indusri minyak dan gas Sarawak

BINTULU-- Pelabuhan Bintulu yang diiktiraf sebagai pelabuhan hijau mencatat sejarah baharu apabila melancarkan Borneo Oil and Gas (BOG) Supply Base hari ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan adanya BOG Supply Base ini akan melonjakkan aktiviti pengurusan Pelabuhan Bintulu dalam membekalkan barangan yang dikehendaki dalam industri minyak dan gas.

"Hari ini hari yang agak bersejarah untuk Pelabuhan Bintulu kerana kita melancarkan Supply Base, yang kita wujudkan di sini di bawah Bintulu Port Holdings Berhad.

"Saya mengucap terima kasih kepada kerajaan persekutuan khasnya Kementerian Kewangan melalui Jabatan Kastam yang telah memberi lesen kepada Pelabuhan Bintulu untuk mewujudkan satu Supply Base yang mana kita namakan sekarang ialah Borneo Oil and Gas Supply Base.

"BOG Supply Base ini akan menempatkan Bintulu sebagai satu tempat di mana industri minyak dan gas serta industri yang berkaitan mendapatkan barangan yang mereka perlukan untuk industri minyak dan gas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Perasmian Bintulu Port Supply Base, di sini, hari ini.

Kata Abang Johari, BOG Supply Base itu juga akan menyumbang kepada pembangunan industri penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Sarawak.

"Kita ada dua projek agak besar di sini iaitu Mawasari dan Lang Lebah yang menjadi satu-satunya perusahaan CCUS.

"Dan ini berkehendakan banyak bahan-bahan yang harus dibekalkan kepada operasi-operasi yang terdapat di Sarawak ini.

"Maka, sangat tepat pada hari ini kita mempunyai Supply Base dan Bintulu akan menjadi satu hub yang penting bukan sahaja dari sudut kegiatan yang saya sebutkan tadi tetapi yang penting ialah industri hiliran yang berkaitan," jelasnya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, ia juga membantu aktiviti industri perkapalan di negeri ini memandangkan Bintulu berada di kedudukan strategi untuk laluan perkapalan.

Jelas beliau, industri perkapalan kini sudah bertukar dari sudut tenaga iaitu daripada penggunaan bahan bakar dari minyak kepada tenaga boleh diperbaharui iaitu metanol dan amonia.

"Disebakan kita mengeluarkan metanol dan insya-Allah kita juga akan mengeluarkan amonia hijau maknanya perkhidmatan yang diperlukan industri perkapalan akan dapat diwujudkan di kawasan ini.

"Maknanya, kita memberi khidmat kepada industri kapal sebab kalau kita lihat laluan perkapalan ini, Bintulu adalah lokasi strategi dan mempunyai bahan-bahan yang diperlukan dalam industri perkapalan," tegasnya.

Menurut beliau lagi, Sarawak memiliki lebih 60 peratus daripada rizab gas di negara ini dan masih banyak aktiviti termasuk aktiviti penerokaan sedang dan akan giat dijalankan yang memerlukan perkhidmatan daripada pangkalan tersebut.

Justeru, beliau optimis BOG Supply Base itu juga penting untuk pelaburan daripada Jepun dan Korea berkaitan hidrogen di negeri ini.

"Ini akan memacu Bintulu akan terus berkembang dalam industri tersebut bahkan di seluruh rantau ini," ujarnya.
Next Post Previous Post