Pawang buaya bantu cari kanak-kanak perempuan dibaham buaya di Tatau
TATAU-- Khidmat pawang buaya digunakan hari ini sebagai iktiar mencari seorang kanak-kanak perempuan yang dibaham reptilia itu ketika mandi di Kampung Seberang Pasar Lama Tatau pada 18 September lalu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihak keluarga bersama pawang buaya mengadakan ritual memanggil buaya di lokasi sekitar jam 1.55 petang tadi.
"Selain ritual memanggil buaya, pihak keluarga dan pawang buaya turut memasang pancing di sungai tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian itu, Cicilia Julan Intik, 6 tahun, dipercayai sedang mandi di sungai bersama ahli keluarganya pada jam 6.30 petang sebelum disambar buaya yang turut disaksikan oleh datuk mangsa yang berada di lokasi.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelapan hari ini pada sebelah paginya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau memulakan pencarian pada radius 5 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).
"Pencarian dilakukan di sepanjang menghulu sungai Tatau dari lokasi mangsa disambar dan kawasan sepanjang sungai pekan Tatau lama.
"Pada jam 10.30 pagi, laporan daripada pasukan SAR masih belum ada lagi tanda mangsa dijumpai," katanya.
Tambahnya, pada jam 5.30 petang, operasi SAR mangsa ditangguhkan untuk sementara waktu atas arahan Ketua Balai Polis Tatau Sarjan Zaidi sehingga ada petunjuk baru.
Setakat ini mangsa masih belum dijumpai.