Op Mabuk: Tiga ditahan memandu dalam keadaan mabuk, 49 saman dikeluarkan

MIRI-- Polis Miri mengeluarkan 49 keping saman dan menahan tiga lelaki kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Jalan Miri Bintulu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, operasi itu dijalankan bermula jam 11 malam tadi hingga 4.30 pagi, melibatkan dua pegawai dan 10 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

"Hasil operasi tersebut sebanyak 62 buah kenderaan diperiksa dengan 49 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Selain itu, tiga lelaki yang berumur antara 49 tahun dan 62 tahun telah ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol yang melebihi paras yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, ketiga-tiga pemandu tersebut ditahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke Balai Polis Trafik untuk tindakan lanjut.

Tegas Alexson, bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol yang melebihi paras yang ditetapkan, jika disabitkan kesalahan boleh di penjara sehingga dua tahun dan denda RM10,000hingga RM30,000 serta hilang kelayakan lesen selama 2 tahun.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memandu semasa dalam pengaruh Alkohol atau minuman yang boleh memabukkan. 

"Kerana ini boleh membahayakan diri pemandu itu sendiri atau membahaya kepada pengguna jalan raya yang lain," ujarnya.
Next Post Previous Post