Kes rompak kedai serbaneka 24 jam selesai dalam tempoh 12 jam, tiga suspek ditahan



BINTULU -- Kes rompak kedai serbaneka 24 jam di sini selesai dalam tempoh 24 jam dengan tertangkapnya tiga suspek utama petang semalam, kata Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan pada jam 2.30 petang Jumaat sekaligus menjadikan kes selesai kurang daripada tempoh 24 jam.

"Hasil soal siasat yang dijalankan turut merampas seunit telefon bimbit, sebilah pisau, dua helai seluar jeans, dua pasang Kasut, dua unit topi keledar, sehelai kemeja panjang dan sehelai baju t-shirt sebagai bahan bukti kes," jelas Nixon.

Semakan yang dijalankan ke atas rekod kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai 11 rekod pelbagai kesalahan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah yang disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Ketiga suspek akan dipohon reman dan disiasat di bawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan.

Jika disabit kesalahan di bawah seksyen tersebut boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun termasuk sebatan.

Pada jam 2.25 pagi dilaporkan berlakunya kejadian rompak di sebuah kedai serbaneka 24 Jam yang mana seorang pekerja kedai telah didatangi oleh tiga lelaki bertopi keledar sebelum salah seorang subjek mengacukan pisau.

Berikutan itu katanya, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sehingga mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian tangan. 

Orang ramai katanya dinasihatkan agar tampil dan membuat laporan polis sekiranya mempunyai apa-apa maklumat berkenaan kes-kes perlakuan jenayah dan boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.
Next Post Previous Post