Mangsa berada dalam mulut buaya - Bomba
MIRI-- "Mayat mangsa masih berada dalam mulut buaya dan kami menunggu lebih kurang lima minit baru ia (buaya) melepaskan mangsa dari bahamannya," kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong Henry Jugah.
Beliau juga merupakan komander operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, Minggu Ikam, 59, yang dilaporkan hilang setelah memasang pukat di sebuah parit ladang di Batu 4, Jalan Kuala Baram dekat sini pagi Ahad.
"Selepas beberapa minit buaya terbabit melepaskan mangsa, dan buaya tersebut perlahan-lahan menenggelamkan diri sebelum muncul semula di permukaan air 10 minit kemudian.
"Serentak itu pasukan polis telah melepaskan satu das tembakan ke arahnya namun buaya itu terus tidak kelihatan lagi," katanya hari ini.
Bagaimanaoun, katanya, mayat mangsa dijumpai terapung sekitar jam 1.45 petang tadi oleh pasukan SAR pada jarak empat kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) yang didirikan berhampran lokasi kejadian.
Jelas Henry, ketika dijumpai bahagian tangan kanan dari paras bahu hingga ke abdomen telah hilang, selain terdapat kesan gigitan pada kaki mangsa.
"Mayat mangsa kemudian dinaikkan ke daratan untuk dihantar ke PKB menggunakan kenderaan pikap milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya sambil menambah anak lelaki dan anak perempuan mangsa turut berada di tempat kejadian.
Semalam, sekitar jam 5.55 petang, pihak bomba menerima panggilan telefon daripada anak perempuan mangsa, Madalyn Minggu, 40, yang memaklumkan ayahnya tidak dapat dihubungi selepas keluar memasang pukat sekitar jam 7.30 pagi.
Katanya, Madalyn memberitahu ayahnya keluar memasang pukat seorang diri di parit ladang berkenaan sekitar jam 7.30 pagi Ahad.
Namun, jelasnya, anak mangsa cuba menghubungi mangsa sebanyak dua kali iaitu pada jam 11 pagi dan 12 tengah hari tetapi tidak dijawab.
Tambahnya, anak mangsa pergi ke tempat mangsa memasang pukat dan mendapati kereta mangsa diparkir di tepi jalan dan semasa mencari di kawasan parit, mereka telah menjumpai serawan pukat milik mangsa yang terkoyak dan terdapat kesan gelongsoran besar di tepi parit tempat mangsa memukat.
"Lokasi kejadian merupakan tempat kebiasaan mangsa memasang pukat setiap hujung minggu dan dia sering pergi bersendirian," katanya.
Susulan itu, SAR dilancarkan untuk mengesan mangsa yang merupakan pekerja kilang yang dilaporkan hilang setelah memasang pukat di sebuah parit ladang di Batu 4, Jalan Kuala Baram.
Operasi yang bermula jam 9 pagi tadi turut disertai enam anggota bomba, tujuh anggota polis, lima kakitangan Sarawak Forestry Corporation (SFC), empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 15 penduduk tempatan.