Malaysia komited kepada sasaran 70 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2050- TPM Fadillah
JAKARTA -- Malaysia komited kepada sasaran 70 peratus tenaga boleh baharu menerusi campuran penjanaan kuasa menjelang 2050, dengan peningkatan ketara daripada 27 peratus jumlah sedia ada kini.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, strategi Malaysia tertumpu pada tenaga solar, kuasa hidro dan teknologi biojisim, memanfaatkan inisiatif utama seperti Program Solar Berskala Besar (LSS), Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dan skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).
"Usaha ini selaras dengan matlamat penyahkarbonan global, menyokong peralihan kepada sistem tenaga yang lebih bersih dan hijau," katanya ketika menyampaikan Ucaptama di Forum Kelestarian Antarabangsa Indonesia (ISF) 2024 di Jakarta, Indonesia hari ini.
Forum itu disempurnakan oleh Presiden Republik Indonesia Joko Widodo.
Tambah Fadillah, selaku Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia akan mengutamakan kerjasama yang lebih menyeluruh dalam mengoperasikan APAEC dari 2026 hingga 2030, dengan tumpuan untuk meningkatkan kesalinghubungan tenaga serantau, berkongsi amalan terbaik, dan memastikan peralihan yang adil dan inklusif.
"Usaha kolektif ini akan memacu kemajuan yang bermakna ke arah masa depan tenaga yang mampan dan berdaya tahan untuk rantau ini.
"Mencapai Sifar Bersih adalah cabaran yang tidak boleh ditangani oleh negara kita sendirian.
"Malaysia komited terus bekerjasama rapat dengan rakan ASEAN dalam membina masa depan yang mampan dan makmur untuk generasi akan datang," tegas Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu.
Mengenai ISF, Fadillah berkata, perhimpunan penting ini menghimpunkan pemimpin untuk membincangkan keperluan kritikal bagi memperkasa langkah penyelesaian tenaga rendah karbon menjelang perkembangan masa depan Asia Tenggara ke arah sifar bersih dan rendah karbon.
Beliau turut menekankan keperluan kerjasama serantau dalam menangani perubahan iklim isu yang melangkaui sempadan dan memberi kesan kepada semua aspek ekonomi dan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi komitmen Malaysia terhadap Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC), rangka kerja yang meningkatkan keselamatan, kebolehcapaian dan kemampanan tenaga.
Jelasnya, inisiatif seperti Grid Kuasa ASEAN dan Saluran Paip Gas Trans-ASEAN memainkan peranan penting dalam memacu integrasi dan daya tahan tenaga serantau sambil mempercepatkan penggunaan tenaga boleh baharu.