Lelaki maut, motosikal terbakar selepas terlibat kemalangan

KUCHING-- Seorang lelaki maut akibat cedera parah selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa berusia 25 tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 12.27 tengah malam tadi di wad kecemasan Hospital Umum Sarawak.

"Kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 11.20 malam di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce berhadapan dengan sebuah hotel.

"Mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Jalan Stakan menuju ke Jalan Satok dan apabila sampai di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce tiba-tiba motosikal tersebut telah hilang kawalan dan terbabas sendiri melanggar pokok yang ada di sebelah kiri jalan. 

"Mangsa telah terpelanting ke arah kiri jalan dan motosikal yang ditunggang tersebut telah terbakar seluruh bahagian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan itu, katanya, mangsa mengalami cedera parah dan telah disahkan meninggal dunia di wad kecemasan pada oleh doktor Hospital Umum Sarawak. 

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan melulu atau merbahaya sehingga menyebabkan kematian yang boleh membawa hukuman penjara selama 10 tahun dan denda sebanyak RM50,000 jika disabit kesalahan.

"Justeru, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik
Inspektor Shazwina Alfera Ah Yit @ Suaip di talian 016-7433078 dan di talian 082-259900 BSPTD Kuching atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

"Orang ramai adalah dinasihati supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu serta mematuhi undang-undang jalan raya untuk mengelakkan kemalangan berlaku serta faktor-faktor lain yang diluar jangkaan," ujarnya.
Next Post Previous Post