Lelaki dipercayai lemas semasa mandi di Sungai Lubok Subong Nanga Kesit Lemanak

SRI AMAN -- Seorang lelaki dipercayai lemas dibawa arus deras Sungai Lubok Subong di Nanga Kesit Lemanak petang tadi.

Jurucakap Pasukan Alpha Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dalam kenyataannya hari ini mengesahkan, mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Mohd. Fandi Wong Mohd. Awang Wong berusia 20 tahun.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 1.59 petang," jelasnya.

Hasil maklumat awal daripada pihak polis ujarnya memaklumkan bahawa semasa kejadian mangsa bersama dua lagi rakannya sedang mandi di sungai tersebut.

Selesai mandi, ketiga-tiga mereka cuba hendak menyeberangi sungai tersebut ke seberang, bagaimanapun secara tiba-tiba mangsa telah dibawa arus deras sungai sebelum dilihat tenggelam di tengah-tengah sungai tersebut.
"Turut difahamkan oleh rakannya bahawa mangsa tidak pandai berenang," ujarnya.

Pasukan bomba bersama agensi terlibat dengan bantuan penduduk kampung dengan menggunakan dua buah perahu dan sebuah jetski kemudiannya bertindak memulakan usaha pencarian secara permukaan dalam lingkungan 1 kilometer ke hilir sungai.

Usaha pencarian bagaimanapun ditangguhkan pada jam 5.30 petang dan akan disambung pada esok pagi.
Next Post Previous Post