LAK akan bina kawasan takungan air baharu bernilai RM53 juta, atasi masalah bekalan air di DUN Batu Kitang

KUCHING-- Lembaga Air Kuching (LAK) akan membina sebuah takungan air yang menelan kos RM53 juta di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang bagi mengatasi masalah bekalan air di situ.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Datuk Lo Khere Chiang berkata, proses tender projek pembinaan takungan air itu akan dilaksanakan tahun depan.

"Saya telah dimaklumkan oleh Timbalan Pengurus Besar LAK Ismail Adi bahawa LAK akan membina sebuah takungan air di sini bagi mengatasi masalah bekalan air terutamanya melibatkan penduduk di Kampung Bunga Rampai.

"Penduduk kampung ini sudah menghadapi masalah bekalan air disebabkan tekanan rendah lebih dua tahun.

"Dan inilah penyelesaian jangka masa panjang yang akan dilakukan LAK untuk mengatasi masalah ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog anjurannya yang turut dihadiri Ismail di Pusat Khidmat ADUN Batu Kitang, di sini, hari ini.

Untuk penyelesaian jangka pendek pula, Lo berkata, pihak LAK akan menyambung paip utama untuk kawasan Bunga Rampai dengan saluran 400 pengepam utama.

Jelasnya, ini akan meningkatkan tekanan air di kawasan berkenaan yang sekarang ini berdepan isu tekanan air rendah yang kritikal.

"Pada siang hari penduduk tidak mendapatkan bekalan air kerana tekanan rendah dan mereka terpaksa menunggu sebelah malam untuk menggunakan air paip," jelasnya.

Tambah Lo, kampung tersebut mempunyai 162 rumah dengan 600 orang penduduk. 

Mengulas lanjut projek takungan air itu, Ismail menjelaskan, ia akan dibina pada kedudukan 68 meter dari paras laut agar ia dapat memberi tekanan graviti tambahan untuk bekalan air ini disalurkan kepada kawasan terbabit.

"Masalah tekanan air rendah ini disebabkan kedudukan kampung ini berada pada 46 meter dari paras laut," katanya.

Jelasnya lagi, projek itu kelak akan bermula pada tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Dalam pada itu, Lo memberitahu, dengan adanya takungan air baharu itu kelak, ia dijangka dapat menyelesaikan masalah bekalan air bukan sahaja di DUN Batu Kitang tetapi di Kuching secara keseluruhannya.

Mengenai masalah kekerapan insiden paip bocor di Batu 10, beliau menjelaskan, LAK akan menjalankan kerja-kerja pengantian paip lama dan ia dijadualkan bermula tahun depan.

"Jadi kita berharap segala isu berkaitan bekalan air yang dihadapi penduduk di DUN Batu Kitang dapat diselesaikan pada tahun depan oleh pihak LAK," ujarnya.
Next Post Previous Post