Lagi buaya lebih besar berjaya ditangkap di Tatau
BINTULU-- Pasukan pemburu buaya berjaya menangkap seekor lagi buaya besar di Sungai Tatau, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis, buaya tersebut terpaksa dibawa menggunakan 'tugboard' ke jeti pos operasi selepas berjaya ditangkap sekitar jam 1 petang tadi
"Pasukan berjaya menangkap seekor lagi buaya yang lebih besar berbanding buaya pertama yang berjaya ditangkap pada jam 9.30 pagi tadi.
"Buaya kedua ini dalam perjalanan dibawa ke jeti pos operasi menggunakan 'tugboard' ," katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.
Terdahulu, seekor buaya sepanjang 5.18 meter berjaya ditangkap Sarawak Forestry Corporation (SFC) di perairan Nanga Sap sekitar jam 9.30 pagi tadi.
Operasi menangkap reptilia itu dilakukan susulan insiden kehilangan seorang kanak-kanak perempuan, 6 tahun, yang dipercayai dibaham buaya di Sungai Tatau, minggu lalu.
Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas buaya pertama itu, Jame berkata pasukan menemukan empat hingga lima batang gigi ditemui, namun belum dapat dipastikan sama ada ia gigi manusia (mangsa) atau sebaliknya.
"Selepas buaya pertama ini berjaya didaratkan di jeti pos operasi, kerja-kerja membelah perut buaya dijalankan oleh anggota Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan disaksikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ahli keluarga mangsa.
"Empat hingga lima batang gigi ditemui, namun belum dapat dipastikan sama ada ia gigi manusia atau sebaliknya.
"Sampel gigi yang ditemui dalam perut buaya itu akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk tujuan pengesahan," dedah Jame.
Sebelum ini, mangsa yang dikenali sebagai Cicilia Julan Intik, 6, dilaporkan dibaham buaya ketika sedang mandi bersama keluarganya di Kampung Seberang Pasar Lama.
Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dimulakan sebelum ditangguhkan pada Rabu lalu kerana tidak menemui sebarang petunjuk baharu.