Kompleks UNIFOR siap 99.37 peratus, dijangka OP dikeluarkan Sept ini

KUCHING-- Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang sudah siap 99.37 peratus dijangka memperolehi Permit Menduduki (OP) bulan ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah.

Beliau yakin OP akan dikeluarkan pada September ini kerana kemajuan pembangunan bangunan tersebut.

"Pada Mei lalu (Timbalan Premier Sarawak) Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ada meletakkan sasaran untuk OP ini dikeluarkan pada September dan sebab itu kita mengadakan lawatan ke bangunan ini hari ini.

"Hasil lawatan hari ini mendapati kemajuan pembangunan bangunan ini sudah mencapai 99.37 peratus dan kita amat yakin OP akan dikeluarkan dalam bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek bangunan Kompleks UNIFOR di Jalan Ong Tiang Swee di sini, hari ini.

Tambah Uggah, jabatan terakhir yang akan datang untuk membuat penilaian keselamatan adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
 
“Selebihnya adalah menjadi proses mengeluarkan OP. Oleh itu, pasukan kita sangat gembira dengan kemajuan bangunan ini,” jelasnya.
 
Beliau yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi UNIFOR menambah, bangunan tersebut akan diduduki menjelang suku pertama 2025.
 
“Kita akan memulakan kerja pengubahsuaian bagi pejabat UNIFOR dan juga pejabat Amanah Kebajikan UNIFOR Sarawak (SUCT),” jelasnya lagi.
 
Dalam pada itu, Uggah memberitahu, Kompleks UNIFOR merupakan simbol perpaduan dan keharmonian Sarawak yang menjadi kebanggaan rakyat di negeri ini.

"Bangunan ini menjadi simbol perpaduan kita di Sarawak dan menjadi kebanggaan kita di Sarawak.

"Justeru, UNIFOR akan meneruskan peranan untuk membantu masyarakat berbilang agama di Sarawak dalam usaha Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membangunkan negeri ini ke arah negeri maju menjelang 2030," ujarnya.

Difahamkan kompleks itu mempunyai menara yang terdiri daripada sembilan tingkat pejabat dan sembilan lot kedai.

Selain itu, Kompleks UNIFOR bakal mempunyai dewan dengan kapasiti 1,000 orang dan sebanyak 256 tempat letak kereta.
Next Post Previous Post